Wednesday, February 17

Tanggungjawab Yang Tak Terpikul

salam wbt.

Lama rasanya tidak menaip. Benar dikatakan tanggungjawab manusia itu lebih banyak daripada masa 24 jam yang kita ada. Alhamdulillah di kesempatan merehatkan diri ini walaupun hanya seketika, aku rasakan perlunya untuk menulis. Walaupun rehat, dakwah perlu tetap berjalan.

Semester baru dibuka dengan aku menyandang beberapa tanggungjawab yang aku rasakan cukup berat untuk dipikul tapi aku yakin, aku masih masih mampu melakukannya, insyaAllah. Kini aku melangkah ke dunia Intermediate Cycle [IC1] yang sememangnya mencabar diri aku sebagai seorang pelajar perubatan. Dunia segalanya baru disini. Pintaku moga Allah berikan kekuatan untuk aku berdiri teguh pada jalan ini.

Tapi tanggungjawab yang satu ini kadang kala merunsingkan aku. Sebagai Ketua Helwa di Dublin, aku merasakan semua kemaslahatan muslimat berada di bawah tanggunganku. Memang agak sukar untuk aku mengawal setiap individu. Tapi selalu aku rasa aku akan dipersoalkan mengenai peranan aku dalam membantu kaum hawa.

Aku agak bersyukur kerana kebanyakkan Muslimat disni rata-rata di dalam golongan yang sangat bijak menjaga penampilan dan pergaulan. Tapi aku tidak nafikan terdapat juga sebahagian lagi yang menolak terus dakwah di sini. Selesa berada dalam linkungan rakan sebaya yang mempunyai minat dan cara hidup yang sama. Golongan ini yang paling merunsingkan. Seolah-olah meraikan hidup di tahun kedua yang bebas tanpa terikat dengan mana-mana peraturan dan hukum alam. Hukum Allah.

Mungkin silap di pihak kami yang kurang memberi tarbiyah sebaik mereka masih di bawah jagaan naqibah. Mungkin juga silap kami apabila ukhuwah yang dibina terputus sebaik sahaja mereka melangkah ke tahun baru. Mungkin juga dakwah kami tidak berkesan....Moga usaha berterusan ini diredhai dan moga Allah melembutkan hati semua untuk berjuang pada jalanNya.

Terbukti aku perlu berusaha lebih lagi.


1 comment:

nabila said...

insyaAllah, tanggungjawab yang diberi sbgai ketua helwa boleh menjadi platform utk berdakwah kalau digunakan sebaik mungkin.. saya boleh bantu selagi mampu... =)