Saturday, November 28

Jangan Buat Lagi.

Salam wbt..

Pelik minggu ni aku terasa sangat lapang. Jarang sekali aku berpeluang untuk bangun pagi di hari minggu mendapati bahawa aku berada di atas katil sendiri. Pelik kerana aku berpeluang untuk bangun lewat di pagi minggu. Pelik kerana aku berpeluang untuk mencoret sesuatu disini di hari minggu. Pelik, pelik, pelik..

Dari semalam aku cuba memikirkan apa yang aku terlupa. Hari ini tiada usrah ke? Tiada sebarang aktiviti persatuan PPIMI? IMAM ke? Ataupun ada kuliah online yang aku terlupa? Takkan ada badminton training je? Tapi hakikatnya memang begitu minggu ini. Aku hampir lumpuh kerana tiada urusan penting yang menggerakkan aku.

Tapi bila difikirkan kembali, aku sedar ini mungkin juga satu nikmat dari Allah kepada hambaNya. Dia tahu banyak benda yang aku lengahkan. Dia tahu banyak subjek yang aku kene hadamkan sebelum kaki melangkah untuk pelbagai urusan penting semasa cuti Winter nanti.
PIH and EBH group projects, EPC report, PUISI dan lain-lain yang tidak dapat ku ceritakan disini. Pokoknya, akan ku cuba gunakan sebaiknya minggu ini untuk membayar segala masa yang telah aku lengahkan sebelum ini. InsyaAllah.

Ketika rancak berbual dan berdiskusi tentang tanggungjawab ibu bapa di dalam pembentukan kendiri anak-anak, tiba-tiba aku teringat betapa silapnya aku dalam menanamkan rasa cinta terhadap solat kedalam diri kedua hero kecilku. Fokus aku aku hilang kerana terlalu gopoh untuk membina minat mereka. Aku mengabaikan apa yang sepatutnya diberi lebih perhatian.

"Ajiqboy, Aiman..Asar dah masuk. Dalam 5 minit ambil wudhuk dan masuk bilik kak siti".

Aku mengarah. Padahal waktu itu Siri kartun Spongebob Squarepants kegilaan mereka sedang dimainkan.

Silap 1: Fokus aku lari kerana aku tidak mengikut masa mereka. Aku memaksa sedangkan hati mereka keberatan.

Tapi aku lebih silap tentang perkara ini.

Selalunya aku, ajiqboy dan Aiman akan solat berjemaah sekali untuk MAghrib. Usai solat, aku mula berwirid dan memuji Allah. Sekali lagi aku memaksa mereka untuk duduk dan dengar. Dalam hati moga pendedahan awal sebegini dapat menyediakan mereka apabila sudah matang nanti. Selepas itu Ajiq dan Aiman akan berebut untuk membaca doa mereka dahulu. Selalunya Ajiq kalah kerana Aiman bermain taktik kotor. Dia akn senyap membaca al-Fatihah dan apabila ajiqboy dan aku selesai saja membaca al-Fatihah, Aiman terus memintas laju sambil membaca doanya. Bijak, sehingga kadang-kadang menitiskan air mata Ajiqboy. Selepas Aiman dan Ajiqboy selesai membaca doa mereka, giliran aku pula untuk berdoa.

Silap 2: Doaku dan wirid yang panjang membuatkan mereka berasa bosan dan sudah mula hilang focus ketika membaca doa. Selalu aku memarahi mereka kerana tidak serius ketika berdoa. Kadang-kadang juga aku menggunakan konsep 'hukuman' sebagai membalas perbuatan mereka.

Kesannya, acap kali diajak solat, mereka akan menolak dan sebaliknya mahu solat berjemaah bersama emak. Ataupun selesai sahaja aku berwudhu', aku mendapati mereka sudahpun mendirikan solat. Mereka berasa terbeban untuk mendirikan solat bersamaku sedangkan niatku adalah untuk menanamkan rasa cinta minat terhadap solat berjemaah.

Ataupun:

"Ajiqboy dah solat?"
" Dah, kat bilik mak tadi"
" Solat dengan siapa?"
" Solat sorang-sorang je"
" Kenapa tak solat dengan aiman? solat la sama-sama".

Aku mula naik marah. Semacam tidak berpuas hati dengan jawapan beliau.

Aku silap. Benar-benar silap dalam mendidik mereka. Fokus aku lari. Sebetulnya di peringkat umur mereka, aku menekankan kewajipan menunaikan solat. Bukan tuntutan solat berjemaah. Sepatutnya aku meraikan si kecil berdua itu di dalam usaha mereka memenuhi kewajipan solat 5 waktu.

Menyedari hakikat itu, aku berubah. Aku biarkan mereka untuk memilih cara mereka solat. Aku beri kebebasan untuk mereka menunaikan solat pada waktu pilihan mereka. Perananku kali ini cuma mengingatkan. Alhamdulillah mereka lebih bersikap positif dari yang aku sangkakan. Sekarang aku boleh menarik nafas lega mengetahui adik-adikku sudah bijak memenuhi tuntutan Allah. Itu yang lebih penting.



" Ya Tuhanku, Kau jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap melaksanakan solat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku".
(Ibrahim: 40)

2 comments:

Afham said...

Haaa. post yang terbaek!
Raikan fitrah mereka sebagai kanak-kanak...

::The Spinning Wheel:: said...

insyaAllah. lepas ni lebih cuba memahami.